BAGAIMANA GURU BERDAKWAH? Oleh: Luqman Zaian
Muqadimah
Kebangkitan atau kemunduran suatu ummah menggambarkan mampu atau tidak ummah merancang pendidikannya. Pendidikan yang baik melahirkan generasi yang berkualiti. Sirah menunjukkan bahawa Rasulullah SAW menumpukan kepada generasi muda. Ini kerana mereka merupakan Jil Tahgyir yang mampu membawa perubahan yang besar. Ini juga menunjukkan bahawa dakwah baginda berorientasikan masa hadapan. Malah seluruh ideologi dominan di dunia ini memilih kelompok muda terutama para pelajar sebagai sasaran mereka.
Imam al-Bana pernah menyatakan : “ Oleh kerana itu, sejak dahulu hingga sekarang, generasi muda merupakan pilar kebangkitan, pemuda
adalah rahsia kekuatannya. Dalam setiap fikrah, pemuda adalah pengibar panjinya”.
Bagaimana memulakan dakwah di sekolah..? Sebelum memulakan usaha dakwah di sekolah, seorang guru perlu memahami waqi [realiti] sekolah dan seterusnya mewujudkan jambatan atau hubungan langsung dengan pihak di sekolah. Antaranya : 1. Pihak pentadbir terutama Pengetua dan PK HEM. 2. Guru-guru dan ustaz-ustaz. 3. Warden-warden 4. PIBG 5. Ibu bapa 6. Pimpinan pelajar 7. Jaga(Pengawal Keselamatan)
Macam mana … 1) Beri salam dan bertaaruf dengan mereka. Bertaaruflah dengan mereka bersungguh-sungguh dan penuh sopan. Al-Bana berkata : “asas dakwah kita adalah taaruf..”. “dakwah kita adalah dibina atas kasih sayang dan dengannya kita membuka pintu-pintu hati manusia..”. 2) Ambil masa menziarahi mereka terutama di sempena-sempena tertentu. Lebih baik jika anda menjadi warden kerapkanlah menzirahi mereka waktu sakit, waktu cuti dan sebagainya.
3)Beri hadiah dan buah tangan. Ajaklah mereka hadir ke rumah anda. 4)Buat aktiviti yang mengikat hati dan dikenang budi seperti gotong royong, kelas tambahan, hadir memberikan kuliah di surau sekolah, tuisyen percuma, sediakan bank solan di samping qudwah seorang guru da’ie. 5) Jaga penampilan diri, jaga percakapan dan pergaulan diri, buang tanggapan negatif terhadap kita samada dari pihak pentadbir, guru-guru dan para pelajar.
6) Sentiasa bergaul dengan pelajar samada di surau dan padang sekolah. Riadah dan main bersama mereka. Ringan tangan membantu dan menyelesaikan masalah mereka.
7) Jadikan diri kita idola pelajar
Kaedah menyatakan “al-qudwah qobla dakwah”. Menunjukkan teladan yang baik dahulu sebelum mengajak kepada fikroh kita. Dakwah melalui contoh teladan adalah dakwah yang lebih efektif dan mampu mempengaruhi para pelajar. Antara sifat yang perlu ada pada seorang guru : 1)Sentiasa senyum dan bermanis muka. 2)Ambil berat tentang pelajar 3)Hebat dan bersungguh-sungguh di dalam mengajar dan mendidik 4)Memuji allah
5)Panggil nama pelajar yang paling disukai 6)Senang didekati
Buka Lembaran zaman sebagai pelajar… “Saya tidak suka nasihat yang berjela-jela…jangan berleter..” Sebagai guru, berilah nasihat yang ringkas dan padat. Mereka akan
menanti nasihat tersebut dan tertanya-tanya bila lagi. Berilah nasihat secara personal, jangan aibkan mereka di khalayak ramai. Kalau ingin memberi tazkirah..bawalah kisah-kisah dan cerita-cerita kerana ia lebih disukai pelajar.
“Saya anak kampung..petang-petang berkayuh basikal, pergi ke
sawah …masa sekolah menengah ustaz selalu ajak mendaki gunung..pergi ke tempat-tempat rekreasi” Guru perlu kreatif rancang aktiviti. Pelajar suka aktiviti-aktiviti lasak dan kegiatan rekreasi. Mereka rasa jemu duduk di dalam kelas. Bawalah mereka ke program jaulah..rehlah..perkhemahan…mendaki gunung..di tepian pantai dan sebagainya.
“Saya johan pertandingan hafazan al-Quran..” Guru perlu bimbing dan latih pelajar..pelajar akan lebih menghargai dan mengingati guru yang telah melatihnya menjadi juara atau pemenang. Ia adalah satu wasilah mendekatkan guru dengan pelajar semasa latihan dan pertandingan…”
Melahir Kader(perantisan) Dakwah Sekolah Dakwah tidak akan berjaya tanpa diikuti dengan tarbiyah. Tugas guru setelah mengadakan program-program umum ialah
menyediakan program yang mampu membentuk diri mereka menjadi kader dakwah sekolah. *perantisan= orang yang akan meneruskan kesinambungan
Pelajar yang sudah kita dekati ini dan ada kecintaan pada islam perlu dikumpulkan di dalam satu halaqah dan diberikan taujih tarbawi secara khusus. Mereka akan menjadi batu bata kepada dakwah di tempat mereka di samping pembantu kepada kita di dalam membawa fikrah yang jelas ini. Mereka akan menjadi agen dakwah kerana rakan-rakan mereka kerana mereka lebih kenal dan senang didekati. “Dakwah pelajar kepada pelajar untuk pelajar…”