Aku Dan Si Pelik

  • Uploaded by: SURAYA
  • 0
  • 0
  • May 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Aku Dan Si Pelik as PDF for free.

More details

  • Words: 3,497
  • Pages: 12
“Teruk betul! Kau telefon suruh aku datang pagi-pagi buta ni cuma nak ajak aku pergi makan sarapan?!” Tariq menarik nafas, menahan marah serta menghalang diri daripada mengetuk kepala Milia yang memandangnya tanpa rasa bersalah. Kalau dia ni bukan perempuan, dah lama aku luku kepala dia ni... “Sekarang dah pukul 7 pagi, mestilah sarapan.” Selamba saja dia menjawab. “Hari Ahad macam ni, pukul 7 pagi aku sepatutnya masih ada atas katil dan tengah tidur nyenyak.” Aku menarik ’hood’ baju ke atas kepala dan memeluk tubuh. Badan terasa sejuk. Hujan lebat pada pukul 3 pagi tadi baru saja berhenti kira-kira pukul 6 pagi, menjadikan cuaca pagi agak sejuk dan berkabus, amat sesuai untuk tidur berselubung di bawah selimut tebal. “Tak elok tidur sampai matahari naik, kita patut menghayati waktu pagi yang indah ni.” Dia menjawab sambil menyarung sweaternya yang berwarna hitam. Aku mengetap bibir. Pagi yang indah aku baru je dirosakkan bila kau tiba-tiba telefon ketika aku baru nak lelapkan mata lepas solat Subuh dan lepastu kau kata ada kecemasan. ‘Cepat! Ini berkaitan dengan nyawa manusia! Aku tak dapat terangkan sekarang, kau datang je dulu!’ Kenapa aku boleh tertipu dengan taktik dia yang diulang-ulang banyak kali ni? Mungkin sebab aku terlalu mamai dan suara dia pula betul-betul cemas... “Tiba-tiba aku teringin nak makan kek,” Milia berkata dan menyambung, “Kita makan kek nak? Sedapnya...Cepat, jom!” “Nanti kejap!” Aku menarik lengan tangannya dengan pantas. Dia terpusing ke arahku, “Pagi-pagi nak makan kek? Kedai kek mana yang buka pukul 7 pagi? Boleh tak kau berfikir secara logik dulu?” “Kita cari sampai jumpa,” dengan mudah dia menjawab. Aku mengeluh dan melepaskan pegangan. “Sikap optimistik kau ni sangat berbahaya pada diri kau sendiri, tahu tak?” Milia mengerut dahi, “Aku tahu tak ada kedai kek yang buka waktu macam ni, tapi apa kata kita cari sampai jumpa? Lebih mencabar, kan? Kita akan rasa puas hati kalau dapat jumpa kedai kek yang dah buka dan rasa kek tu akan jadi lebih sedap.” Aku menatap wajah Milia, ini namanya menyusahkan diri – sendiri dan dalam hal ni, aku diheret sama. Yang paling pentingnya... “Kenapa dalam banyak-banyak kawan kau aku yang jadi mangsa?”

“Sebab aku tahu kau orang yang penyabar. Aktiviti mencari ni perlukan orang yang banyak bersabar.” Tapi baru hari tu kau kata aku ni orang yang cepat marah. “Aku tak cakap lagi nak ikut dan aku bukan orang yang sabar.” “Aku tahu kau banyak bersabar dengan aku, ” dia menjawab dan menarik lengan sweaterku, “Kita naik kereta kancil aku. Satria Neo kau tu boleh tinggal kat sini. Jangan risau, aku drive and kau boleh tidur kat sebelah, kalau dah jumpa kedai tu aku kejut. Lagi satu, aku belanja, tak payah risau, ok? Tengok, aku seorang yang considerate.” Aku mengeluh lagi. Memang suka ikut kepala dia sendiri, buat aku sakit kepala. Hari pertama kali kita jadi kawan, bagi aku, itu hari yang sangat malang sebab lepas hari tu, kau dah jadikan hidup aku yang boleh dikatakan aman jadi tunggang-langgang. Pagi ni adalah contoh yang terbaik. “Kau dah fikir nak makan kek apa?” Milia bertanya dan membuka pintu kereta. Aku turut membuka pintu di bahagian penumpang. Nak makan kek apa? Nak jumpa kedai kek yang dah buka waktu macam ni pun boleh dikatakan mustahil...Mungkin aku kena temankan dia sampai tengahari nanti. Kedai kek selalunya buka pukul 10 pagi...mungkin dapat cari yang dah buka awal sikit...temankan dia makan lagi...Huh...Setengah hari aku yang indah ni dibazirkan dengan Milia. “Terima kasih sebab kau nak temankan aku,” dia tersenyum, menampakkan lesung pipit di sebelah kiri dan menyambung, “Kau memang best!” “Aku nak makan semua kek dalam kedai tu supaya kau jadi papa kedana.” Milia membuat muka dan menjelir lidah, “Buruk lantak.” Aku ketawa kecil. Pagi ni udara memang sangat segar. Beberapa bulan yang lepas... Aku mencapai mana-mana buku besar berdekatan dan mencari tempat duduk yang agak tersembunyi. Suasana di dalam perpustakaan memang betul-betul sunyi, tak ramai orang pun. Baguslah, tak ada sesiapa dapat cari aku sekarang. Aku tak nak dijumpai… Aku menanggalkan cermin mata hitam dan menyentuh mata kiriku. Terasa sakit sedikit.. Mungkin lebam.Tepi mulut pun dah mula rasa berdenyut-denyut. Memang kuat tangan

abah. Tumbukan dia tak pernah lemah sejak dari dulu lagi. Sejak aku masih kecil… Tumbukan dia tetap sama. Tanpa aku sedari, air mata tiba-tiba menitis ke atas buku yang kuambil tadi; buku yang aku gunakan untuk berpura-pura membaca. Aku biarkan sahaja air mata mengalir. Tak ada sesiapa di sini. Tak ada sesiapa yang nampak. Abah tak pernah nampak air mata aku. Aku selalu bertahan. Aku tak akan tunjukkan kelemahan aku pada dia. Aku takkkan tunjukkan kelemahan aku pada orang yang teruk tu! Sampai bila dia nak menyusahkan hidup mak?Dia yang tinggalkan mak, kenapa bila dia dalam kesusahan, mak yang dia cari? Kenapa dia masih nak buat mak sedih? Memang patut aku tumbuk dia tadi… Tapi…aku dah jadi anak derhaka ke?... “Err…” Seseorang sedang berdiri di sisiku. Aku cepat-cepat memakai semula cermin mata hitam. “Nak apa?” Aku menoleh dan menyoal, sedikit marah . Aku segera mengenali gadis yang berdiri di sebelahku. Milia. Dah tiga semester sama kelas dengan dia,tapi aku tak pernah tegur ataupun bercakap dengan dia. Dia seorang yang berperangai agak kasar dan pelik. Aku pernah nampak dia bercakap seorang diri di dalam lif. Menakutkan. “Itu…hmm….” dia memandang buku di atas meja. Ada kesan basah pada mukasurat yang aku buka, di tempat air mata menitis tadi. Dia mengerut dahi, menyeluk begnya dan mengeluarkan sehelai tisu, “Tak apalah. Lap buku tu.” Kenapa dia ni? Dia nampak aku menangis ke tadi? “Lepas awak baca buku tu, boleh tak awak letak balik di tempat yang awak ambil tadi? Boleh? Terima kasih. Saya pergi dulu. Maaf menganggu.” Apa? Aku tak tahu pun dari mana aku ambil buku ni. Aku pakai ambil je tadi. Kenapa pula dia suruh aku letakkan balik buku ni di tempat asal? Dia tu pengawas perpustakaan ke? Hei, ini memang pelik! Dia mesti dah nampak aku menangis tadi! Sebab tu dia bagi aku tisu. “Nanti dulu! Hei, awak!” Aku memanggil. Ah, suara terkuat! Aku lupa ini perpustakaan… Nasib baik tak orang di bahagian ni. Milia terhenti berjalan dan menoleh. “Nak apa?” “Saya nak tanya.”

Milia berpatah balikdan berdiri di hadapanku. “ Apa dia?” “Awak …err…awak nampak apa-apa tak tadi?” “Apa-apa…apa?” Milia mengerut dahi. “Apa-apalah.” “Apa?” Ini memang membuang masa…Mungkin…aku cuba cara lain. “Kenapa awak bagi saya tisu?’ “Sebab buku tu basah,” Milia menunjuk buku tebal di atas meja. “Jadi, bukan untuk saya?” “Betullah awak tengah menangis?” selamba dia bertanya, “Sebab tu saya tak nak menganggu. Baik saya pergi dulu.” “Awak nampak saya menangis?!” Ini memang memalukan… “Saya tak nampak pun,” Milia menjawab dan dia kemudian melangkah hendak pergi. “Nanti!” Aku pun tak pasti kenapa aku tak benarkan dia pergi. Bagi aku, ini memang memalukan. Aku jarang menangis dan tak pernah menangis depan perempuan. “ Awak nampak ke tak nampak sebenarnya?” Milia mengeluh. Dia menarik kerusi dan duduk betul-betul di hadapanku. “Saya cuma teka yang awak menangis. Biar saya terangkan, sebenarnya saya nak buku tu.” Aku memandang buku besar tadi dan baru aku perasan, ia adalah buku resepi kek yang sungguh tebal dan penuh dengan gambar-gambar kek yang nampak betul-betul sedap. Tapi tadi aku rasa aku naik ke tingkat untuk Engineering. Aku meneliti setiap rak buku… Kebanyakkannya berkaitan dengan Hydrolics... “Ini memang bukan tempat dia,” Milia cepat-cepat berkata, “ Saya yang sembunyikan buku ni di sini sebab saya nak baca lagi. Saya tak nak ada orang lain pinjam buku ni.” “Kan awak boleh pinjam, tak perlu nak sembunyikan buku.” “Tak seronoklah macam tu.” Apa yang dia fikir? “Tapi sekarang bukan pasal saya, sekarang pasal awak. Saya nak buku tu, tapi awak dah ambil, lagi teruk, dah basah mukasurat yang awak buka tadi. Ada dua sebab je kenapa muka surat tu basah, samada awak tertidur dan itu air liur awak ataupun - ”

“Hei…” “- ataupun awak menangis. Awak duduk macam ni…” Milia meletakkan kedua-dua tangannya ke atas dahi manakala siku di atas meja, “ Jadi, air mata jatuh ke atas buku. Yang lebih pentingnya, awak cepat-cepat pakai cermin mata hitam tu bila saya tegur. Kenapa pula awak nak buat macam tu? Mesti ada benda yang awak nak sorokkan. Mungkin mata yang bengkak sebab menangis?Awak tak nak orang nampak awak menangis, sebab tu saya tak nak menganggu awak. Saya boleh baca buku tu lain kali je.” Entah kenapa, aku rasa perkara amat lucu. Cara dia bercakap macam dia sangka dirinya seorang detektif professional. “Betul saya menangis. Tapi ada perkara yang awak salah, “ aku menanggalkan cermin mata hitam, “Saya bukan nak sorokkan mata yang bengkak sebab menangis.” “Wah!” Milia betul-betul terkejut, “ Awak bergaduh dengan samseng mana ni?” Aku tersenyum dan memakai semula cermin mata tadi. Kenapa aku rasa selesa bila bercakap dengan dia? Semua rasa marah dah hilang secara tiba-tiba… “Rupa-rupanya bergaduh dengan samseng,” Milia menyambung, “Saya ingatkan awak bergaduh dengan girlfriend, lepastu kena tampar dan awak menangis seorang diri kat sini.” Itu lagi memalukan! Teruk betul. Apa yang dia fikir sebenarnya? Janganlah fikir perkara yang tak masuk akal. “Mana awak dapat idea bodoh tu?” “Bibir awak yang pecah tu,” dia menjawab dengan selamba dan tersengih, “Saya ingatkan girlfriend awak tu ada tangan yang betul-betul kuat.” “Ini abah saya yang tumbuk.” Eh? Aku terlepas cakap. Kenapa dengan senang je aku boleh terlepas cakap? Ini bukan diri aku yang sebenar.Aku seorang yang berhati-hati bila pertama kali berbual dengan seseorang. “Awak pun ada tumbuk dia?” Kali ini, dengan selamba dia menyoal. “Tak,” aku menjawab dan menggenggam tangan. “Oh, “ itu saja yang keluar daripada mulutnya dan dia tiba-tiba berdiri, “ Tak ada apa-apa lagi, kan ? Saya ada hal lain yang nak diuruskan ni.” “Nanti sekejap,” Aku menghalang lagi. Riak wajah dia tadi, dia tahu aku berbohong. “Awak tahu saya tipu, kan ?”

“Tsk, “ dia mengeluh, “Kau ni memang leceh.” Dia duduk semula dan menongkat dagu. Kemudian, dia berkata,“Ya, aku tahu kau tipu. Tapi tak apalah, bila seseorang tu menipu, mesti ada sebabnya. Lagipun ini hal peribadi, aku memang tak nak tahu pun.” Dia dah gunakan perkataan aku dan kau. Dan cara dia bercakap macam kami ni dah lama berkawan baik. “Awak teka saya menipu?” “Bila kau genggam tangan tadi, bahagian ni,” dia menyentuh buku lima tanganku, “Nampak tak? Walaupun tak berapa jelas, tapi merah. Kau tumbuk abah kau dengan kuat. Mesti masa tu kau terlampau marah, kan?” Hei…dia ni bercita-cita nak jadi detektif ke? Dia dah salah ambil course. “Mesti awak rasa saya ni orang yang teruk, kan ? Saya sanggup tumbuk abah saya sendiri.” “Memang teruk, tapi tak juga. Kau rasa bersalah, kan ? Lagipun…aku rasa kau tak bermaksud nak tumbuk dia. Sebenarnya kau sayangkan dia.” “Tak mungkin saya sayangkan lelaki teruk yang dah buat mak saya menderita selama ni! Dia memang layak ditumbuk!” “Kenapa kau menangis? Sebab sakit?” Apa yang dia cakap ni? Tumbukan tu memang tak sakit pun! Tak sakit langsung ! Hati aku lebih sakit! Dia selalu bergembira dengan isteri dan anak-anak dia yang lain,biarkan kami bertiga macam tu je… dan bila dalam kesusahan, mak yang dicari! Abang aku yang dia cari! Mana pergi anak-anak dia yang dia sayangkan sangat tu? Orang tua tak guna! Aku betul-betul bencikan dia! “Saya bencikan dia…betul-betul bencikan dia.” “Kau betul-betul bencikan abah kau sebab kau terlalu sayangkan dia. Bila dia tumbuk kau, kau rasa lebih sakit hati. Kenapa dia sanggup tumbuk anak dia sendiri?” Apa yang dia merepek ni? Tak masuk akal! Aku benci abah sebab dia asyik menyusahkan hidup kami bertiga. Bencikan dia sebab tak ada di sisi kami bila kami perlukan dia, tapi akan mengacau hidup kami apabila dia dalam kesusahan. Orang macam tu tak layak untuk aku sayang dan panggil abah! “Awak jangan nak mengarut lagi dan buat tekaan gila tu!”

“Kalau tekaan aku salah, kenapa kau nak marah?” Milia bertanya dan merenung wajahku. Walaupun aku memakai cermin mata hitam, tapi…renungan matanya yang tajam tu bagai dapat menembusi dan betul-betul sedang memanah mataku. Secara tiba-tiba dia mencapai buku kek tadi dan mengambilnya, “ Aku cuma nak buku ni je, kenapa aku kena masuk campur dalam hal peribadi kau pula?” “Saya tak suruh pun, awak yang nak masuk campur.” “Kau yang tak bagi aku pergi.” “ Kalau nak pergi, pergilah!” “Tahu tak yang kau ni memang pelik, Tariq?” Milia membuat muka. “Sekejap tak bagi pergi, sekejap halau orang suruh pergi. Ntah yang mana satu agaknya...” Aku dikatakan pelik oleh seseorang yang selama ni aku anggap pelik.Yang paling mengejutkan, dia tahu nama aku. “Awak tahu nama saya.” “Mestilah. Dah tiga semester kita sama kelas. Kau ni Tariq yang bawa kereta Satria Neo warna hitam. Agak berlagak sikit.” Si pelik ni kata aku berlagak? “Awak Milia yang bercakap seorang diri dalam lif.” “Aku ada kuasa psikik, dalam lif tu ada roh yang tak tenang.” Penipu! “Kau ni suka merepek ke?” Milia memeluk buku resepi kek dengan erat, “Dulu, beberapa tahun yang lepas… ada seorang student perempuan bunuh diri dalam library ni.” Dia ingat aku akan percaya dengan cerita bodoh dia ni? Milia mendekatkan muka sedikit dan memperlahankan suara, hampir berbisik, “ Dikatakan yang dia bunuh diri dengan mengelar pergelangan tangan menggunakan pisau. Dia mati perlahan-lahan…tik…tik…tik…darahnya menitis …karpet berwarna kelabu bertukar hitam…malangnya…tak ada sesiapa pun yang sedar… Kau tahu tak kenapa?” “Aku tak nak tahu.” Milia merendahkan suara lagi dan membesarkan matanya, “Tempat yang dia duduk masa tu memang tersorok. Kebetulannya memang tak ramai orang pada hari dia membunuh diri. Dan kebetulannya lagi…dia mati di atas kerusi yang kau duduk!”

Tanpa aku sedari, aku sudah berdiri dengan pantas, menyebabkan kerusiku terbalik ke belakang. Milia ketawa kecil. “Seram tak?” “Aku tak takut langsung.” Aku membetulkan kerusi semula, “Cerita tipu untuk kanakkanak tu tak seram langsung.” “Aku tak cakap pun yang kau takut.” Milia berkata dan tersnyum manis, “Rasa marah dah hilang?” Eh? Memang…rasa marah dah hilang…Dia cuba buat aku rasa tenang? Milia ketawa kecil. “Kau patut tengok muka kau masa takut tadi. Tak sangka orang macam kau boleh tertipu. Kau nak dengar cerita hantu lain tak?” Tak mungkin si pelik ni nak tenangkan aku. Dia cuma seronok dapat main-mainkan aku. “Boleh tak aku nak tanya?” Milia menyoal dan menatap wajahku. “Kau nak tanya apa?” “Dalam banyak-banyak tempat dalam dunia ni, kenapa kau pilih library dalam kampus ni untuk menangis?” Soalan yang jujur dan telus daripada Milia. Wajahnya betul-betul ingin tahu. “Sebab aku benci library dan ini tempat terakhir sesiapa terfikir akan cari aku.” “Habis selama ni macam mana kau buat research untuk assignment kalau tak masuk library? Kau suruh orang buatkan?” “Kau tak pernah dengar tentang internet? Kau hidup dalam zaman apa?” “Kau ni orang yang cepat marah.” “Kau pula orang yang banyak tanya.” “Ah, aku lupa!” Milia bersuara kuat secara tiba-tiba. Wajahnya kelihatan panik. “Apa lagi?!” “Aku lupa nak cakap,” Milia tersenyum, “Selamat berkenalan.” Perlu ke dia buat muka panik tadi? Tapi…ya, ini kali pertama aku bercakap dan berbual dengan dia. “Err…ya, selamat berkenalan.” “Game apa yang kau suka main?” Milia bertanya lagi dan kali ini dia tersenyum gembira. Maksud aku, dia betul-betul gembira dan aku tak faham sebabnya.

***** Sekarang aku dah faham kenapa dia tanya soalan hari tu… Apa yang aku tengah buat ni? Kenapa aku duduk bersama mereka dalam kelas kosong ni dan bermain Monopoly? “Kau pernah main Monopoly, kan , Tariq?” Milia menyoal dan membaling dadu. “Kau cakap ada hal penting nak beritahu dan sebab tu suruh aku datang sini. Jangan beritahu aku inilah hal penting tu.” “Kenapa ini tak penting? Kau pernah dengar tak, ‘All work and no play makes Jack a dull boy’ . Kau nak jadi Jack ke, Tariq?” “Aku tak berminat nak main permainan kanak- kanak ni!” “Ok! Siapa jalan lepas aku?” Milia tak menghiraukan kata-kataku. Hei, dia ni memang suka ikut kepala dia sendiri! Memang membencikan. Kenapa yang lain-lain tak cakap apa-apa pun? Sara, salah seorang kawan baik dia ni pun dari tadi asyik bermuka masam. Bercakap pun cuma dengan Azrul, boyfriend Azi, kawan dia yang bagi aku sangat ceria dan agak kebudak-budakan. Apa yang mereka bualkan pun aku tak berapa faham. Apa tu Luffy? Sanji? Zoro? Bercakap pasal Zorro yang Antonio Banderas berlakon tu ke? “Yes! Dapat 12!” Azi tersenyum girang dan membaling dadu sekali lagi. “Aku pun kena paksa juga mula-mula dulu,” Azrul, teman lelaki Azi berkata dan menoleh ke arahku. Dia menyambung, “Tapi aku dah biasa sekarang. Makin lama makin seronok.” “Kau main Monopoly tiap-tiap hari pun seronok?” “Bukan tiap-tipa hari, cuma bila Milia tiba-tiba call dan kata ada perkara penting nak diberitahu.” Rupa-rupanya ini memang taktik dia. Mempergunakan orang lain bila dia rasa bosan. “Kalau dah tahu, kenapa kau tetap datang?” “Sebab aku free dan tak ada benda nak buat,” Azrul tersenyum, “Lagipun permainan tak sama setiap kali. Kadang-kadang main Happy Family, Donkey, Snap…” Semua permainan kad kanak-kanak…. “Catur. Milia pandai main catur. Aku tak pernah menang lawan dengan dia. Banyak lagi permainan yang kami pernah cuba . Tapi sebab mereka yang lain tak pandai main, dia cuma bawa yang senang dimainkan. Monopoly yang selalu kami main selain daripada Uno.”

Ini macam kelab untuk orang-orang pelik berkumpul... Azrul terjerumus dalam kumpulan ni sebab dia teman lelaki Azi. Ya, mestilah macam tu. “Azrul, awak jalan,” Azi menyerahkan buah dadu kepada Azrul dan Azrul membalingnya. Cuma 4 mata. Dia menggerakkan buah permainan dan menyerahkan dadu kepadaku. “Kau jalan.” Aku menoleh ke arah Sara, “Bukan giliran dia?” “Dia cuma nak jadi banker hari ni.” Milia memberitahu. Jadi, selama beberapa jam, aku menghabiskan masa yang berharga dengan bermain Monopoly. Milia menang besar dan Azi pula kalah teruk. Perkara ni macam selalu berlaku bila Azi kata yang suatu hari nanti dia akan buat Milia bankrap dan berhutang pada dia. Milia pula ketawa gembira dan katanya dengan megah, ‘Aku akan tunggu ketibaan hari tu’. Jadi, selesai saja bermain, mereka yang lain meminta diri. Azrul dan Azi pergi makan bersama. Sara pula terus menguap dan katanya ada hal penting yang nak diuruskan. Tinggallah aku bersama-sama Azi yang sedang menyusun semua duit. “Lepas ni kau nak buat apa?” Aku menyoal. “Siapkan tutorial. Aku ni memang seorang yang sibuk…” Kau baru je paksa sekumpulan orang bermain Monopoly. Ini yang dikatakan sibuk? “Kau rasa seronok tak?” Dia bertanya. “Tak langsung.” Milia ketawa kecil dan berkata, “Bila berjalan di koridor takkan pandang pada orang lain. Selalu bermuka serius. Menggunakan suara yang tegas bila bercakap dengan orang yang tak berapa dikenali. Tak mesra. Jadi, kebanyakkan orang menyangka yang kau ni sombong dan berlagak. Kau tahu tak?” Kau kaji kehidupan aku ke selama ni? “Aku tak kisah pandangan orang lain pada aku. Aku adalah aku.” Dia mengangguk, ” Setuju. Tapi, janganlah jauhkan diri kau dari orang lain.” “Aku tak fahamlah apa yang kau cakap ni.” “Aku cuma merepek je. Abaikan.” Dia berkata dengan sambil lewa. “Kau pula selalu bersikap pelik, orang pun tak berani nak dekat.”

“Mereka yang rugi tak nak kawan dengan aku, ” Milia mengenyit mata, “Aku sangat interesting tau.” Interesting? Bahagian mana yang menarik? Kalau eccentric tu tepat la juga. “Masa kau bermain tadi, kau nampak lebih relaks. Mungkin sebab kau ada banyak masalah, jadi muka kau asyik berkerut sebelum ni.” Betul ke? Aku sendiri pun tak sedar. Tapi memang sejak kebelakangan ni, banyak yang aku fikirkan. Masalah keluarga; abah yang asyik mengannggu mak dan masalah diri sendiri. Kedua-duanya pun aku tak dapat nak selesaikan lagi. Erma sejak seminggu yang lepas asyik cuba menelefonku; hampir 50 missed call yang ditinggalkan. Mesej yang ditinggalkan juga banyak sehingga aku terpaksa delete kesemuanya tanpa perlu membaca satu persatu mesej yang dihantar. Isi mesej Erma semuanya sama; dia hendak berjumpa denganku, ada perkara yang perlu dibincangkan. “Kalau fikiran kita asyik bercelaru, kita memang takkan dapat selesaikan apa-apa. Bagi aku, yang penting adalah menjalani kehidupan satu-persatu. Jangan terlalu memaksa diri,” Milia tersenyum dan kemudian mengerut dahi, “Aku rasa apa yang aku cakap tu dialog dalam drama…” Menjalani kehidupan satu-persatu…Tak sangka si pelik ni boleh ucapkan kata-kata yang penuh makna ni. Dan lagi…tujuan dia menjemput aku bermain Monopoly…adalah untuk tenangkan hati aku. Dia perasan yang aku ada banyak masalah. Dia memang kawan yang baik… Milia siap mengemas semua duit dan berkata dengan girang, “ Nasib baik aku ada nombor telefon kau. Orang lain semua sibuk dan tak nak main…Sara pula bad mood dan cuma nak jadi banker…Sebab tak seronok bermain tiga orang, terpaksalah aku ajak kau. Macam mana pun, terima kasih sebab datang, Tariq.” Cuma sebab ni? Cuma sebab tak seronok bermain tiga orang? Dia ni memang pandai mempergunakan orang. Orang macam dia ni...takkan tolong orang tanpa dapat faedah, jadi tak mungkin dia nak tolong tenangkan fikiran aku. “Aku nak pergi makan aiskrim, nak ikut?” Milia menyoal dan mengemas beg. “Tak nak.” “Aku belanja. Jomlah.” Milia berdiri dan tersenyum, “Kau suka aiskrim apa? Cepatlah, kenapa buat muka blur ni?”

Kau ni memang suka ikut kepala sendiri, kan ? “ Betul kau belanja?” “Betul, tapi yang murah la.” “Aku tak makan aiskrim murah.” “Berlagak. Aku belikan aiskrim coklat.” Milia berjalan menuju ke pintu kelas. Aku cepatcepat berdiri dan melangkah pantas untuk bersaing dengannya. “Aku tak suka coklat.” “Kacang merah.” “Aku benci kacang merah!” “Kau ni cerewet!” “Lime. Aku suka perisa lime yang dalam dia vanilla.” “Oh…yang tu sedap juga…” Kenapa dengan aku hari ni? Aku macam dah jadi seorang yang lain…Ini bukan diri aku yang biasa…

Related Documents

Aku Dan Si Pelik
May 2020 21
Aku Dan Pahlawanku.docx
December 2019 33
Aku Dan Jeep Tuaku
November 2019 18
Aku Dan Kaumku
April 2020 16
Kisah Kau Dan Aku
November 2019 47

More Documents from "zuhadisaarani"