Post subject: Adakah kita tergolong dalam remaja-remaja ini? Sudah ada remaja Melayu, terutama di ibu kota berpendapat berpeluk atau bercium dengan pasangan di depan ibu bapa atau khalayak ramai tidak menggambarkan kemerosotan nilai moral. Dalam satu artikel Berita Harian pada tahun 2003, kaji selidik di sekitar Lembah Klang, mendapati remaja berkenaan berpendapat perilaku yang bertentangan dengan nilai dan adat resam timur, tidak boleh dianggap sebagai perbuatan tidak bermoral. Kajian mengenai nilai moral remaja Melayu itu dijalankan ke atas 108 responden, termasuk 62 remaja berusia antara 15 hingga 25 tahun dan 46 responden berusia 30 tahun ke atas. Ia mendapati, sekali pun mengakui perbuatan itu tidak disenangi dan menimbulkan kemarahan ibu bapa, remaja terbabit berpendapat perbuatan berkenaan tidak boleh dijadikan ukuran tahap moral seseorang remaja. Malah, ada remaja mengakui ibu bapa tidak marah jika mereka melakukan perbuatan berkenaan, manakala ada juga ibu bapa yang membenarkan perbuatan itu dan tidak menganggapnya sebagai keruntuhan moral remaja. Walaupun peratusan remaja dan ibu bapa yang beranggapan begitu tidak tinggi iaitu kurang 10 peratus, perkembangan itu amat membimbangkan kerana ia bertentangan dengan adat resam dan budaya timur. Soal selidik itu mendapati 12.9 peratus atau lapan daripada 62 responden berpendapat berpeluk dan bercium dengan pasangan di tempat tertutup tidak menggambarkan keruntuhan moral. Perbuatan lain yang dianggap tidak menggambarkan keruntuhan moral ialah memakai baju yang menampakkan pusat (8.1 peratus atau lima orang); bertindik di hidung dan anggota lain seperti pusat (19.4 peratus, 12 orang). Merokok, terutama di kalangan wanita (14.5 peratus, sembilan orang); mewarna rambut (46.8 peratus, 29 orang); keluar sehingga lewat malam atau awal pagi (16.1 peratus, 10 orang); serta membaca bahan dan mendengar muzik Barat (72.6 peratus, 45 orang). Kajian juga mendapati 64.5 peratus atau 40 responden memberitahu bahawa ibu bapa atau penjaga mereka tidak marah jika mereka membaca bahan dan mendengar muzik Barat, mewarna rambut (35.5 peratus, 22 orang) dan memakai baju menampakkan pusat (14.5 peratus, sembilan remaja). Masing-masing 12.9 peratus atau lapan responden mengatakan bahawa ibu bapa atau penjaga tidak marah jika mereka merokok, bertindik hidung atau anggota badan lain seperti pusat dan keluar hingga lewat malam atau awal pagi. Adakah kita tergolong dalam remaja-remaja ini?