Syeikh Abdul Qadir al-Fathani - Khalifah Syeikh Daud al-Fathani Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH Kedudukan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani dari sudut ilmu pengetahuan adalah setaraf dengan ulama-ulama besar yang berada di Mekah dan Madinah pada zaman itu. Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani menjalankan tugas ulama dengan aktiviti pengajarannya di Masjidil Haram, Mekah dan di rumahnya sendiri. SYEIKH Ahmad al-Fathani menyebut bahawa ayahnya, Syeikh Wan Muhammad Zain alFathani lahir dalam tahun 1233 H/1817 M. Diriwayatkan bahawa Syeikh Abdul Qadir al-Fathani itu lebih tua daripada Syeikh Muhammad Zain al-Fathani. Riwayat lain menyebut bahawa usia Syeikh Abdul Qadir al-Fathani lebih tua sekitar lima tahun daripada Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani. Jadi bererti Syeikh Abdul Qadir al-Fathani lahir dalam tahun 1228 H/1813 M. Diriwayatkan pula bahawa Syeikh Abdul Qadir al-Fathani lebih tua daripada Syeikh Nawawi al-Bantani (Imam Nawawi Tsani). Syeikh Nawawi al-Bantani lahir dalam tahun 1230 H/1814 M. Kedua-dua ulama yang berasal dari Patani dan Banten itu bersahabat ketika kedua-duanya belajar di Mekah. Kedua-duanya menerima bai`ah Thariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah daripada Syeikh Ahmad Khatib Sambas (1217 H/1802 M-1289 H/1872 M). Dalam beberapa hal Syeikh Nawawi Banten belajar kepada Syeikh Abdul Qadir al-Fathani, di antaranya ilmu qiraah. Dan demikian sebaliknya dalam beberapa hal Syeikh Abdul Qadir alFathani belajar pula kepada Syeikh Nawawi al-Bantani. Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani telah menyelamatkan cukup banyak karya yang masih dalam bentuk tulisan tangan (manuskrip) yang dikarang oleh ulama dunia Melayu, terutama sekali karya-karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Selain memelihara manuskrip dengan rapi, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman alFathani pula telah melakukan pentahqiqan dan pentashhihan beberapa buah kitab yang dianggap penting, yang secara tradisinya banyak diajarkan dari sebelum hingga zaman beliau. Pertubuhan Daripada khazanah simpanan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani itulah menimbulkan ilham bagi Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani sehingga beliau mengasaskan suatu pertubuhan pentashhihan di Mesir, Mekah dan Turki. Munculnya istilah tashhih dan mushahhih bermula dari sini. Pendek kata Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani ini sangat penting bagi orang-orang Melayu yang berada di Mekah pada zamannya. Beliau adalah guru bagi seluruh ulama Asia Tenggara, pakar tempat rujukan dalam semua bidang keilmuan keislaman. Ada beberapa ulama besar yang berasal dari Patani yang bernama Syeikh Abdul Qadir al-Fathani. Di antara mereka yang sangat terkenal ialah Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani yang dibicarakan ini. Menjalankan aktivitinya di Mekah, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani, lebih dikenali dengan nama Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas, Terengganu, kerana menjalankan aktivitinya di Bukit Bayas Terengganu, Syeikh Abdul Qadir bin Mushthafa al-Fathani lebih dikenali dengan nama Tok Bendang Daya, kerana menjalankan aktivitinya di Bendang Daya Patani. Ketigatiga ulama besar Patani itu satu sama lainnya sempat bertemu, yang lebih tua menjadi guru kepada yang muncul kemudiannya. Ketiga-tiga mereka masih ada kaitan keluarga pertalian nasab yang dekat, yang bersumber daripada satu datuk nenek yang sama. Syeikh Abdul Qadir al-Fathani bin
Abdur Rahman adalah cucu saudara bagi Syeikh Daud bin Abdullah al- Fathani, dan dalam sebuah manuskrip ada dinyatakan bahawa beliau merupakan Khalifah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Pendidikan dan Keluarga Nama lengkapnya, Syeikh Wan Abdul Qadir bin Wan Abdur Rahman bin Wan Utsman bin Tok Wan Su bin Tok Wan Abu Bakar bin Tok Kaya Wan Pandak bin Tok Wan Faqih Ali. Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani adalah peringkat murid kepada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim Bukit Bayas Terengganu dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Beliau mendapat pendidikan asas dimulai daripada beberapa pondok di Patani, tetapi yang lebih lama tempatnya memondok adalah di Pondok Pauh Bok Patani, iaitu sebuah pondok pengajian yang pernah mendidik ramai ulama, di antaranya termasuk Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan ramai lagi. Pada zaman itu hampir semua pondok di Patani yang menjadi Tok Guru adalah di kalangan keluarga mereka. Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani terganggu pendidikannya di Patani kerana terjadinya satu peperangan besar antara Patani dengan Siam (1828 M-1830 M). Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani termasuk keluarga besar ulama Patani Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim Terengganu yang turut berhijrah ke Pulau Duyung Kecil Terengganu. Dalam peristiwa penghijrahan itu diriwayatkan bahawa beliau baru berusia sekitar belasan tahun saja. Walau pun hijrah yang penuh darurat itu dilakukan, namun belajar kitab terus juga dilaksanakan, masa tidak boleh dibuang dan diabaikan. Dipercayai di Pulau Duyung Kecil itu beliau belajar kepada kedua-dua ulama yang telah disebutkan di atas. Lebih kurang empat puluh hari setelah kelahiran saudara sepupunya, iaitu Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani/Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani keluarga besar ulama Patani tersebut, termasuk Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani meneruskan perjalanan ke Mekah dan sepupunya bayi yang baru dilahirkan juga dibawa bersama-sama. Yang tinggal di Pulau Duyung Kecil itu hanya sebahagian kecil termasuk Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani. Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman alFathani saya katakan sepupu dengan Syeikh Muhammad bin Ismail Daud alFathani/Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani kerana ibunya adik beradik/saudara kandung. Ibu Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman bernama Wan Fathimah binti Syeikh Wan Idris al-Fathani, ibu Syeikh Nik Mat Kecik bernama Wan Zainab binti Syeikh Wan Idris al-Fathani. Ada pun Syeikh Wan Idris al-Fathani tersebut, nama lengkapnya ialah Syeikh Wan Idris bin Syeikh Wan Abdullah bin Syeikh Wan Idris bin Syeikh Senik al-Karisiqi al-Fathan. Syeikh Wan Idris bin Syeikh Wan Abdullah adalah saudara kandung Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Jadi dengan demikian Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani juga sempat belajar kepada datuknya, Syeikh Wan Idris bin Abdullah al-Fathani yang tersebut. Diriwayatkan bahawa ayahnya, Syeikh Abdur Rahman bin Utsman, juga termasuk ulama. Dipercayai Syeikh Abdul Qadir juga belajar kepada ayahnya itu. Selain belajar di lingkungan kaum keluarga sendiri Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani juga pernah belajar kepada Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki (1233 H.-1335 H), Syeikh Muhammad Haqqi Nazili (wafat di Mekah 1301 H/1884 M), Syeikh Ahmad As'ad ad-Dihan (1222 H-1294 H), Saiyid Muhammad Amin
Ridhwan dan ramai lagi. Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani merupakan kader Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, oleh itu manakala Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani meninggal dunia, beliau menjadi rujukan utama ulama-ulama yang berasal dari dunia Melayu, yang berada di Mekah. Hal ini kerana beliau adalah seorang ulama yang menguasai ilmu pengetahuan keislaman dalam berbagai-bagai bidang. Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani adalah seorang ulama ahli syariat dan haqiqat. Pengaruh Telah disebutkan bahawa Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani adalah keluarga dekat kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, maka Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani inilah yang pertama mengambil tempat kemasyhuran Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani setelah beliau meninggal dunia. Pengetahuan Islam dan predikat ulama pada peribadi Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman alFathani tidak pernah diragukan oleh para ulama yang sezaman dengan beliau. Kedudukan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani dari sudut ilmu pengetahuan adalah setaraf dengan ulama-ulama besar yang berada di Mekah dan Madinah pada zaman itu. Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani menjalankan tugas ulama dengan aktiviti pengajarannya di Masjidil Haram, Mekah dan di rumahnya sendiri. Beliau mengajar kitab yang tinggi-tinggi dalam bahasa Arab, juga kitab-kitab Melayu/Jawi yang dikarang oleh ulama-ulama yang berasal dari dunia Melayu yang terkenal. Murid beliau sangat ramai. Di antaranya yang terkenal mengarang dan menterjemah kitab-kitab ialah Syeikh Utsman bin Syeikh Syihabuddin al-Funtiani (Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia). Muridnya ini banyak meninggalkan karangan. Di antara kitab yang diterjemahkannya berjudul Tajul `Arus). Syeikh Ahmad alFathani juga termasuk salah seorang murid Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman alFathani, iaitu kader yang bersambung dan berhubung dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani hingga sampai kepada kegiatan datuk nenek mereka, iaitu ulama-ulama Patani yang telah berhasil sebagai patriot-patriot penyebar ilmu pengetahuan Islam di dunia Melayu khususnya, dan dunia umumnya. Suatu hal yang menarik disebut di sini bahawa Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani adalah seorang ulama yang besar pengaruhnya di kalangan Thariqat Syathariyah. Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani adalah seorang Mursyid dalam Thariqat Syathariyah tersebut. Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman alFathani menerima Thariqat Syathariyah adalah secara langsung kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Oleh sebab Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani telah diperbolehkan mentawajjuh, membai'ah, dan mengijazahkan Thariqat Syathariyah tersebut, maka pengaruh beliau lebih besar di kalangan masyarakat pengamal sufi Islami. Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani dipercayai telah menerima Thariqat Syathariyah daripada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani kerana ulama yang berasal dari Kelantan itu tidak bertemu ketika dewasa dengan Syeikh Daud bin Abdullah alFathani. Selain Syeikh Wan Ali Kutan, murid Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani yang menjadi ulama pula, yang menerima bai`ah Thariqat Syathariyah kepadanya di antara mereka ialah Syeikh Muhammad Shalih bin Syeikh Zainal Abidin al-Fathani, Syeikh Muhammad Zain bin Muhammad al-Fathani Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain alFathani, Syeikh Muhammad bin Ismai/Nik Mat Kecik al-Fathani dan ramai lagi.
Bagi orang yang belajar ilmu tasawuf yang mempergunakan kitab Siyarus Salikin karangan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani pada masa dahulu, nama Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al- Fathani ini tidak asing lagi bagi mereka. Kitab tersebut cetakan asalnya kemudian masih beredar sampai sekarang adalah berasal daripada naskhah tulisan, tashhih dan bekas Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani mengajarnya. Penulisan Syeikh Abdul Qadir al-Fathani bin Abdur Rahman al-Fathani sekurang-kurangnya telah menghasilkan 14 buah karangan, namun kerana kekurangan ruangan perbicaraan tentangnya terpaksa ditangguhkan.